KUALA LUMPUR: Di kala wabak COVID-19 menjejaskan banyak perniagaan di Malaysia, kedai-kedai buku selera khas masih mampu bertahan dengan sokongan para penggemar buku yang masih setia membeli bahan bacaan bercetak.
Dalam suasana pandemik dan segala macam sekatan pergerakan, pelanggan tetap kedai-kedai buku ini masih terus berbelanja malah dengan lebih banyak lagi, termasuk melalui platform dalam talian.
Advertisement
Advertisement
Ekoran sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan di seluruh Malaysia, rangkaian kedai buku terkemuka MPH Group Sdn Bhd Jun lalu mengumumkan penutupan banyak cawangannya. Dalam satu kenyataan, ketua pegawai eksekutif MPH Donald Kee menjelaskan firma tersebut akan beralih dari model perniagaan peruncitan fizikal ke satu ekosistem digital.
Dalam suasana ekonomi yang kian mencabar, kedai-kedai buku yang lebih kecil kelihatan mencuri peluang dengan menjual koleksi khusus.
READ: BooksActually bids farewell to Tiong Bahru and transforms into online store
Pengurus kedai buku Gerak Budaya, Wong Ho Wai memberitahu CNA syarikatnya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor saban tahun berjaya menarik kelompok pembaca yang lebih suka buku bercetak berbanding e-buku atau peranti Kindle.
Advertisement
Advertisement
“Saya telah bekerja sebagai pengurus di sini sejak 2017. Mengikut pengalaman saya, masih ramai pembaca yang lebih gemar membaca buku bercetak.
“Mungkin juga ini disebabkan umur purata pelanggan kami iaitu dalam lingkungan 40 tahun ke atas. Pelanggan kami yang lebih muda biasanya dari kalangan wartawan dan mereka yang mencari bahan bacaan ilmiah,” ujar beliau.
Moontree House adalah kedai buku yang menjual judul buku Bahasa Cina. (Foto: Moontree House Facebook)
Begitu juga kedai buku Moontree House di Kuala Lumpur yang hanya menjual judul buku berbahasa Cina. Kedai ini turut meramalkan pelanggan tidak akan beralih ke e-buku dalam masa terdekat.
Advertisement
Pemilik kedai, Law Yee Wan, berkata dalam perniagaan buku berbahasa Cina, kesetiaan pembaca boleh berlanjutan sehingga berdekad lamanya.
“Kumpulan pembaca (buku) berbahasa Cina adalah kecil terutama sekali di Malaysia. Setelah mengenal pasti sebuah kedai buku, kumpulan yang kecil ini akan datang membeli di kedai yang sama secara tetap.
“Saya membuka kedai pada 2010. Setelah 10 tahun, saya ada sekitar 20 orang pelanggan setia yang masih mengunjungi kedai saya apabila ingin membeli buku. Usia mereka semakin lanjut dan judul yang dipilih juga berbeza, namun mereka masih setia berkunjung,” ujar beliau.
Di samping pelanggan tetap, Law berkata ada juga pelanggan yang hanya datang sekali-sekala. Biasanya mereka ini dari golongan muda.
“Mereka datang untuk mendapatkan bekalan buku akademik. Itu merupakan satu lagi pasaran yang pasti akan memerlukan buku bercetak untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi,” kata beliau.
LEBIH BANYAK JUALAN DALAM TALIAN SEMASA PKP
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan banyak perniagaan, kedai buku yang memenuhi selera pembaca yang khusus ini sebaliknya menampakkan peningkatan dalam jualan.
“Sepanjang tempoh PKP ini kami menjual secara dalam talian dan laman web kami jauh lebih sibuk daripada biasa,” kata Wong dari Gerak Budaya.
Terang beliau, orang ramai yang masih bimbang untuk keluar membeli memilih untuk membeli buku secara dalam talian dan buku dihantar terus ke rumah mereka. Buku bercetak masih merupakan pilihan utama pembeli.
“Kira-kira dua tahun lalu kami ada mencuba menjual e-buku … Jujur saya katakan hasilnya langsung tidak memberangsangkan. Bagi kami dan para pembaca kami, buku bercetak masih menjadi pilihan,” kata beliau.
READ: Bookstores face rising rents, but some find ways to keep going
Pemilik Intelligentsia Book Station, Cheah Moon Chung, berkata ramai pelanggan tetap kedai bukunya yang berusia 27 tahun telah meminta beliau menjual menerusi platform dalam talian.
“Kami belum pernah lagi menjual secara dalam talian. Jadi kami gunakan laman web kami yang sedia ada untuk membolehkan para pembaca mendapatkan sebut harga bagi buku-buku mereka, kemudian menelefon kami untuk membuat pesanan.
“Kemudian kami menyiapkan pesanan mereka. Mereka boleh datang mengambilnya tanpa perlu menghabiskan masa di kedai buku,” ujar beliau.
Tambahnya, kaedah peruncitan ini ternyata amat berkesan semasa tempoh PKP kerana ramai pelanggan tetapnya terdiri daripada kanak-kanak sekolah yang mencari judul buku berbahasa Cina.
“Konsep ini popular dalam kalangan ibu bapa kerana dirasakan lebih selamat bagi anak-anak mereka untuk membeli dengan cara ini,” terang Cheah.
Intelligentsia Book Station di Kuala Lumpur adalah kedai buku yang menjual judul buku Bahasa Cina. (Photo: Intelligentsia Book Station)
TINGKATKAN PENAWARAN, PENUHI PERMINTAAN YANG BERTAMBAH
Bagi sesetengah kedai buku tradisional, peningkatan permintaan terhadap buku semasa PKP mendorong mereka meningkatkan penawaran.
Kedai Buku Jilid Melayu (penjual judul buku berbahasa Melayu), sebuah kedai buku tradisional di pinggir bandar Rawang, memberitahu CNA setelah hanya menjual judul Bahasa Melayu selama lebih 25 tahun, kedai buku ini mula menjual judul Bahasa Inggeris beberapa bulan kebelakangan ini.
Pengurusnya Azlinda Ahmad Fauzi berkata pemilik kedai buku ini pada mulanya khuatir apabila PKP dikuatkuasakan pada bulan Mac.
“Ini kerana kami mempunyai pelanggan tetap. Selepas PKP (diumumkan), kami terpaksa melakukan sesuatu bagi meningkatkan hasil kerana pelanggan tetap kami membeli secara bermusim.
“Sebahagian besar jualan kami biasanya datang apabila ada pelancaran judul baharu oleh penerbit tetap kami dan juga sebelum sesi persekolahan baharu dibuka. Jadi kami perlu mencari jalan untuk menampung perniagaan pada masa lain,” kata beliau.
Setelah mendengar pandangan pelanggan tetap mereka, pemilik kedai buku ini membuat keputusan untuk mula menjual judul Bahasa Inggeris.
“Namun kami tidak menjual novel berbahasa Inggeris. Hanya buku-buku akademik, bantu diri dan seumpamanya.
“Kami terkejut kerana judul-judul ini laris terjual. Sama laris dengan judul Bahasa Melayu kami pada musim puncak,” kata beliau.
Kedai buku Gerak Budaya di Petaling Jaya menjual judul sosiopolitik, akademik dan lain lagi. (Foto: Facebook/Gerak Budaya)
Kedai buku Sivaguru Book Depot di Brickfields yang mengkhusus dalam judul buku oleh penulis India tertentu turut berkongsi kisah yang serupa. Kedai ini juga mula menambah bilangan judul yang dijual dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
P Shiva, seorang pengurus di kedai tersebut, memberitahu CNA kebanyakan buku yang dijual di Sivaguru Book Depot sebelum ini adalah judul keagamaan.
“Mujurlah kami mempunyai pelanggan setia yang terus membeli buku-buku kami semasa PKP. Malah lebih banyak buku kami yang terjual semasa PKP. Mungkin kerana orang ramai mempunyai lebih banyak masa untuk membaca.
“Ramai pembaca kami meminta judul buku tertentu, jadi kami pun mula menyimpan judul-judul yang mereka minta. Mujurlah buku-buku ini terjual dengan baik sama seperti judul kami yang biasa. Kami bercadang untuk terus menjual judul-judul baharu ini,” ujar beliau.
Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu yang satu ini.
Ikuti akaun CNA di Facebook dan Twitter untuk membaca artikel-artikel terkini.
… [Trackback]
[…] Find More on to that Topic: coronavirus19.tv/kedai-buku-selera-khas-di-malaysia-kekal-bertahan-di-kala-covid-19-menjejaskan-banyak-perniagaan/ […]